TAPAH – Soal status jawatan Penasihat Menteri Besar bukan keutamaan buat masa ini sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada pemilihan PKR akan datang.

Itu penjelasan Ketua Penerangan PKR Perak, Siti Aishah Shaik Ismail bahawa beliau kini berada  dalam  ‘mood move on’ dan menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada pentadbiran kerajaan negeri.

“Seperti yang saya nyatakan fokus saya pada masa ini adalah kepada pimpinan parti untuk memperkuatkn PKR di Perak dan saya tidak mahu bercakap soal jawatan lagi.

“Jawatan bukanlah satu-satunya sebab untuk saya bergerak melakukan kerja kerana tanpa jawatan saya tetap mampu bekerja dengan mendapat sokongan daripada pelbgai pihak,” katanya ketika ditanya pemberita selepas hadir pada program Kempen Kibar Jalur Gemilang bersama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu, di Dewan Kampung Dusun Muda, semalam.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakannya bertanding sebagai Ketua Cabang Keadilan, Siti Aishah berkata, sudah sampai masanya dia memberi tumpuan kepada PKR Perak dalam memastikan parti tersebut berdiri sama tinggi dengan parti komponen Harapan yang lain di negeri ini.

“Saya mengambil keputusan untuk tidak bertanding di peringkat Pusat kerana ingin memberi laluan kepada calon-calon lain terutamanya generasi muda menerajui parti sambil saya meberi khidmat kepada kepada PKR negeri.

“Kerana itu sata mengambil pendekatan berani memilih Tapah bagi merebut kerusi cabang kerana sata percaya tempat ini akan memberikan cabaran kepada saya dan Insya-ALLAH juga kemenangan bermakna jika diizinkan ALLAH SWT.,” katanya.

Beliau juga sudah berkempen di Tapah sejak tiga minggu lalu dalam menghangatkan suasana pemilihan parti tidak lama lagi selain mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira kaum – sinar