POLIS akan meneruskan siasatan terhadap peguam dan aktivis, Siti Zabedah Kassim atas dakwaan melarikan anak guamnya serta mengganggu penjawat awam menjalankan tugas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, biarpun aktivis yang lebih dikenali sebagai Siti Kassim itu dilepaskan selepas permohonan reman terhadapnya gagal diperoleh, siasatan oleh polis terus berjalan.

“Kertas siasatan akan dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya kepada wakil media ketika menghadiri Majlis Aidilfitri di Bukit Aman, hari ini.

Bagaimanapun ketika ditanya perkembangan lanjyt siasatan, Mohamad Fuzi enggan mengulas lanjut mengenainya.

Sabtu lalu, Siti Kassim dilepaskan selepas permohonan reman terhadapnya ditolak Mahkamah Kajang kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Sebelum ini, Siti Kassim ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Segambut, Kuala Lumpur kira-kira jam 9 malam, Jumaat lalu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mengulas sama ada polis sudah memanggil bekas pembantu Datuk Seri Najib Razak iaitu Deputi Superintendan Musa Safri bagi membantu siasatan berhubung pembunuhan model Mongolia Altantuya Shaariibuu, Mohamad Fuzi berkata, perkara itu belum dibuat lagi.

“Setakat ini belum lagi panggil beliau (Musa) dan lokasi beliau belum dikenal pasti,” katanya yang turut mengesahkan pegawai itu sudah pun bersara – hmetro