IPOH– Sebarang cadangan atau pandangan bagi laluan alternatif di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), khususnya di laluan antara Terowong Menora dan Kuala Kangsar, terbuka untuk dibincangkan, kata Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu.

Bagaimanapun kata belia, jika laluan baharu itu dapat dijayakan, ia seharusnya memberi pulangan kepada kerajaan negeri, sekaligus menetapkan situasi menang-menang kepada pihak yang terbabit.

“Sekarang kita dapati di kawasan Terowong Menora begitu bermasalah dengan kemalangan demi kemalangan dan menyebabkan kesusahan kepada orang ramai disebabkan kesesakan yang teruk.

“Saya amat berharap kerajaan Persekutuan dapat memikirkan satu jalan “win-win” di mana lebuhraya ketika dibina dulu terpaksa negeri Perak korbankan kawasan hutan rizab dan penebangan pokok yang amat luas.

“Dari segi imbuhan balik dan ekonomi negeri perlu difikirkan samada kita nak besarkan jalan, saya harap hari ini apabila syarikat PLUS mengambil alih lebuhraya Utara-Selatan, ada sedikit imbuhan kepada negeri,” katanya kepada pemberita di konti PerakFM, di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas usaha untuk membuat penambahbaikan di lebuhraya tersebut yang sering mengundang kemalangan sehingga mengakibatkan kesesakan teruk, khususnya di waktu perayaan.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, usaha untuk mewujudkan laluan alternatif itu akan tetap dilaksanakan untuk mengelakkan kes kemalangan berulang, selain memberi pilihan kepada pengguna sekiranya berlaku kesesakan.

“Masalah ini kerap sangat berlaku, saya fikir setiap kali perayaan ada kemalangan, bukannya memudahkan tapi kesesakannya menekan rakyat.

“Untuk kepentingan rakyat kita akan laksanakan dengan cara paling berhemah, tapi malangnya jalan itu kita terpaksa korbankan tanpa sebarang pulangan, saya cuma mahu kadar yang paling nominal diberikan kepada kerajaan negeri,” ujarnya.