BAGAN DATUK: Kerajaan tidak akan menutup walau satu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) pun di negara ini, itu jaminan yang diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, jaminan yang diberikan itu turut melibatkan 454 buah SJKC yang dikenal pasti sebagai Sekolah Kurang Murid (SKM).

Menurutnya, kerajaan juga telah meluluskan pembinaan 10 buah SJKC di negara ini pada tahun ini sekaligus menambah jumlah sedia ada iaitu 1,298 di sebalik wujud fitnah kononnya sekolah terbabit akan dihapuskan.

““Walaupun terdapat 454 SJKC yang mempunyai kurang daripada 150 murid, kerajaan masih tidak menutupnya, malahan terus membayar gaji guru-guru, dan mengiktiraf lembaga pengelola sekolah.
“Jadi jika ada pihak yang menabur fitnah bahawa SJKC akan dihapuskan ia adalah tidak benar sama sekali.

“Saya ulangi, tiada SJKC akan ditutup di negara ini. Jaminan ini akan memberi ketenangan kepada ibu bapa serta guru-guru terbabit seterusnya membolehkan mereka fokus dalam memastikan mencapai objektif sebenar pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Proram Kembali Ke Skeolah di SJKC Chong San Sungai Burung di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, walaupun menyedari terdapat segelintir pihak mempertikaikan pelaksanaan sekolah itu namun kerajaan berpendirian soal pendidikan perlu diberi keutamaan dan keharmonian keplabagaian kaum di Malaysia perlu dihormati.

Dalam majlis itu sebanyak 11 buah SJKC dan PIBG serta pelajar kelas Bahasa Cina dari empat buah sekolah menengah di daerah ini membabitkan 1,136 pelajar Cina mendapat manfaat daripada sumbangan berupa beg sekolah.

Ahmad Zahid terdahulu telah menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Saadah dan meluluskan pembinaan masjid baharu di kawasan terbabit.