CHEMOR: Sekolah Kebangsaan Tanah Hitam yang muncul sebagai johan dalam Pertandingan 3K (Kebersihan, Kesihatan dan Keselamatan) Peringkat Negeri Perak bertekad untuk mengharumkan nama negeri di peringkat kebangsaan kelak.

Penolong Kanan Hal Ehwal Muridnya, Rahida Mohd Nor berkata, pemilihan sekolah tersebut untuk mewakili negeri Perak merupakan titik tolak untuk mewujudkan pendekatan inovatif dalam penceriaan dan keadaan persekitaran secara lebih holistik.

3k

Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama semua pihak, termasuk pentadbiran, kakitangan, guru-guru serta pelajar dan agensi yang mempunyai kesedaran mengenai kepentingan amalan 3K di dalam sebuah entiti pembelajaran.

“Kita sebenarnya telah mengikuti taklimat mengenai 3K pada March lepas dan sejurus itu telah mengambil keputusan untuk melaksanakannya di SK Tanah Hitam, syukur kita telah mendapat dua anugerah iaitu Sekolah 3K Negeri Perak dan juga anugerah video terbaik hasil kerjasama dengan Dutch Lady Malaysia.

9c606d36-e18c-4e6a-9c5d-9d2d23a0c40a

“Selain itu, aktiviti kitar semula iaitu pecahan kecil di bawah 3K ini turut mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk SW Corp Malaysia serta jabatan lain seperti PDRM,” katanya kepada Suara Perak pada Khamis.

Rahida berkata, pihaknya berharap agar semua 527 murid, termasuk pra-sekolah akan merasai manfaat perlaksanaan program tersebut yang akan menjadi tabiat dalam kehidupan seharian mereka.

Malah, katanya, SK Tanah Hitam turut mengambil inisiatif menaiktaraf sebuah tandas bagi kegunaan murid OKU, yang lengkap dengan sistem siren serta lampu kecemasan di sekolah.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Tanah Hitam, Sub Inspektor Ahmad Bahari Mansor berkata, pihak PDRM akan sentiasa menyokong idea inovatif mana-mana sekolah yang memerlukan bantuan, khususnya dari segi nasihat keselamatan di peringkat awal.

“Selain daripada memenuhi aktiviti “community policing”, kami sebagai pihak polis akan sentiasa membantu guru dan kakitangan sekolah untuk memberikan pendedahan kepada anak-anak kita di peringkat muda mengenai ancaman, bahaya dan cara-cara menjaga keselamatan masing-masing di luar sekolah.

“Bagi kami, ini adalah satu pendekatan cukup bernas melalui Strategi Laut Biru Kebangsaan (NBOS) yang membolehkan semua agensi dan jabatan bekerjasama membentuk satu komuniti yang sihat, selamat dan kreatif di kalangan pelapis masa depan Malaysia satu hari nanti, dan inilah masa sesuai sejak mereka masih di bangku sekolah,” katanya.