GOPENG: Selepas 11 hari operasi mencari Mohammad Ashraf Hassan, 29, peserta Gopeng Ultra Trail, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memutuskan untuk mengecilkan skala pencarian.

Pasukan penyelamat telah melakukan pencarian di semua laluan Gopeng Ultra Trail dalam usaha mengesan Mohamad Ashraf yang hilang sejak 12 hari lalu.

Ketua Zon 1 JBPM Perak Penguasa Kanan Bomba I Mohd Khairul Jamil berkata, selain  trek larian 25, 50 dan 100 kilometer, operasi pencarian turut meliputi 24 kilometer persegi di luar laluan trek dan 6 kilometer persegi laluan balak di Hutan Simpan Bukit Kinta yang berhampiran trek 100 kilometer.

“Kita akan mengecilkan skala pencarian, yang mana pencarian akan diteruskan pegawai kami akan standby di sini. 

“Sekiranya ada maklumat-maklumat terbaru kita akan bertindak mengikut maklumat yang kita dapatilah,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Bomba di Kampung Pintu Padang di sini, pada Rabu.

Menurutnya, operasi pencarian pada Rabu ditumpukan di sekitar Gua Tempurung, termasuk kawasan di dalam gua berkenaan.

Sementara itu, pihak polis menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan, misalnya menawarkan pelbagai ganjaran.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, sekiranya ada tawaran seumpama itu, orang ramai boleh terus merujuk kepada pihak polis.

“Dalam kes orang hilang ni ada juga yang pernah berlaku tiba-tiba orang telefon waris mangsa kata ada maklumat, minta duit, jadi jangan percaya,” ujarnya.

Dalam pad itu, katanya, setakat ini kes kehilangan Mohamad Ashraf tiada sebarang unsur jenayah.