KUALA LUMPUR – Hanya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berhak mengulas mengenai prestasi dan tahap kemahiran komunikasi semua anggota kabinet.

Justeru kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, beliau tidak boleh mengulas dakwaan bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin tentang kelemahan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) dan punca rakyat tidak gembira dengan kerajaan.

Namun kata beliau, isu itu akan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

“Kita akan bincang ini dalam kabinet dan saya pasti ia akan dibincang pada mesyuarat akan datang.

“Saya tidak boleh komen, Tun ada hak untuk komen tentang kami. Sebagai menteri saya sebahagian daripada pasukan dan apa juga orang kata kami perlu ambil maklum,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau tidak perlu menilai tahap prestasi kementeriannya, termasuk cara berkomunikasi dan bekerja kerana rakyat akan berbuat demikian.

“Saya tidak perlu, rakyat yang akan nilai saya dan kami gembira untuk terima maklum balas.

“Kami semua kerja setiap jam. Bukan sahaja sibuk tapi saya harap pihak urustadbir akan tahu apa kami buat.

“Kami serahkan kepada Tun M untuk nilai kami,” ujarnya. -MalaysiaGazette