IPOH – Sekitar 30,000 keluarga negeri ini akan mendapat manfaat apabila Skim Bantuan Air Percuma Kerajaan Negeri Perak dinaikkan kepada 25 meter padu berbanding 20 meter padu pertama yang ditetapkan sebelum ini dan 10 peratus diskaun kepada semua pengguna domestik bermula bulan depan.

Menteri Besar YAB Ahmad Faizal Azumu berkata pemberian air percuma tersebut adalah untuk golongan sasar iaitu keluarga yang memerlukan.

Kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan juga memperkenalkan diskaun 10 peratus bil air untuk semua pengguna domestik di Perak sebagai menghargai sokongan rakyat serta sebagai langkah mengurangkan beban kos sara hidup, tambah beliau.

“Jika sebelum ini ianya hanya untuk 20 meter padu pertama, pentadbiran sekarang ini telah menambah hingga ke 25 meter padu kepada semua golongan sasar yang bakal melibatkan lebih daripada 30,000 keluarga di seluruh negeri Perak.

“Kerajaan Pakatan Harapan juga telah memutuskan untuk memperkenalkan diskaun sebanyak 10 peratus bil air kepada semua pengguna domestik di negeri ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Di Bangunan SUK Negeri Perak, di sini, hari ini.

Pengumuman ini telah membuktikan bahawa kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya menunaikan satu daripada 31 janji yang ditawarkan kepada rakyat Perak sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.

Hujung bulan lalu, Ahmad Faizal mengulas bahawa pertambahan penerima air percuma ini bukanlah bermaksud lebih ramai orang miskin wujud sejak kerajaan Pakatan Harapan memerintah, akan tetapi peningkatan berlaku kerana kerajaan negeri ingin memperluaskan bantuan ini kepada lebih rakyat.