Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disarankan membekalkan gajet komunikasi tercanggih kepada 707 penghulu dan penggawa di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ianya penting bagi memastikan institusi penghulu dan penggawa dapat ditranformasikan kepada intitusi yang moden dan relevan mengikut kesesuaian situasi masa kini.

“Peranan dan pertanggunjawaban penghulu, penggawa perlu dimodenisasikan dan permodenan ini harus dilakukan dengan menyesuaikan peranan mereka daripada tradisional kepada yang moden serta relevan.

“Sistem komunikasi telah berubah kerana generasi X ketika ini, 87 peratus daripadanya memilih komunikasi tanpa lisan manakala hanya 13 peratus komunikasi dilakukan melalui bersemuka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Persidangan Perwakilan Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) ke-42 di Ipoh pada Sabtu.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan ahli-ahli exco kerajaan negeri.

Justeru itu Zahid memberitahu gajet tersebut amat penting bagi memastikan  penghulu dan penggawa dapat menjadi jambatan di antara rakyat khususnya generasi X dan kerajaan secara efektif dan menyeluruh.

“Maka saya cadangkan juga agar SKMM memperuntukkan sedikit daripada kutipan seluruh dana kewangan daripada syarikat-syarikat komunikasi diserahkan kepada KPMM.

“Ini untuk KPMM mengadakan kursus-kursus komunikasi tanpa lisan, supaya mereka terus kekal relevan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri mencadangkan agar skim penjawatan perkhidmatan penghulu dan penggawa dinaiktaraf selaras dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.