IPOH: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggeledah rumah Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming, di Tambun di sini dan rumah keluarganya di Ayer Tawar, dekat Sitiawan, petang tadi.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Taiping dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, mendakwa SKMM turut menyerbu dan menggeledah pusat khidmatnya di Taiping.

“SKMM dibantu anggota polis menggeledah ketiga-tiga lokasi itu serentak bermula kira-kira jam 3.30 petang sebelum beredar lebih kurang sejam kemudian,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.

Kor Ming berkata, pegawai SKMM turut merampas telefon bimbitnya serta buku nota daripada rumahnya di Tambun sebelum diminta hadir memberi keterangan di Balai Polis Sungai Senam pada jam 5.30 petang tadi.

Katanya, pegawai SKMM memberitahunya bahawa beliau dipanggil untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mereka yang melakukan kesalahan mengikut seksyen itu boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ditanya apakah kes yang mengakibatkannya disiasat mengikut akta berkenaan, Kor Ming berkata: “Soalan itu lebih baik ditanya kepada SKMM.”

Setakat ini, SKMM belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.

-BeritaHarian