KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) tidak pernah mengarahkan penyedia platform media sosial membuang huruf `O’ untuk ejaan penuh UMNO dalam laman Facebook parti itu sehingga mencacatkan maksud sebenarnya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, berkata pemadaman tidak boleh dibuat sewenang-wenangnya sehingga menjejaskan kebebasan bersuara.

Bagaimanapun, Gobind meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) yang mengemukakan soalan itu supaya mengemukakan bukti dan memaklumkan kepada beliau untuk diteliti dan diambil tindakan lanjut.

Ismail yang juga Ketua Pembangkang berjanji akan menyerahkan bukti berkenaan dalam tempoh terdekat.

Terdahulu dalam soalan tambahannya beliau meminta Gobind menjelaskan kenapa penyedia platform media sosial membuang huruf `O’ dalam ejaan UMNO sedangkan huruf itu sangat penting dalam ejaan partinya.

Tindakan berkenaan, dakwanya berunsur politik dan menindas pembangkang sekali gus menjejaskan kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu dalam sesi soal jawab lisan, Gobind berkata sejumlah 3,877 akaun media sosial menyamar dikesan dan 78 peratus daripadanya dipadam SKMM hingga September lalu.

Faktor utama akaun berkenaan dipadam ialah kerana penciptaan akaun palsu untuk tujuan penyamaran.

Pemadaman akaun media sosial itu mendapat kerjasama pihak penyedia platform media sosial selaras dengan terma dan syarat yang disediakan oleh penyedia platform.

‚ÄúSelain itu, sebanyak 1,564 pautan dan kandungan yang dipercayai berunsurkan buli siber dikesan oleh SKMM dengan 63 peratus daripadanya berjaya dipadam,” katanya menjawab soalan Ismail Sabri yang ingin tahu jumlah pemilik akaun media sosial yang disekat penggunaannya dan apakah sebabnya.