IPOH – Satu laporan telah dibuat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mengesan pemilik akaun Facebook yang bertanggungjawab menghantar pesanan berbaur ugutan terhadap dua pemimpin kerajaan.

 

Laporan itu adalah terhadap pemilik akaun Facebook atas nama Jin Hong yang dikatakan telah memuat naik status didakwa berunsur ugutan terhadap Timbalan Yang DiPertua Dewan Rakyat, Kor Ming dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Ching Tong.

 

“Kita boleh ada perbezaan pendapat, boleh bertikam lidah dan berbahas kerana itu memang asam garam dalam arena politik, tetapi perbezaan pendapat tidak sekali-kali membenarkan apa-apa bentuk kekerasan serta kecaman,” kata Kor Ming yang juga Ahli Parlimen DAP Teluk Intan.

 

Beliau berkata demikian sebagai mengulas status di Facebook yang didakwa berunsur ugutan terhadapnya dan Chin Tong.

 

Ekoran itu beliau berharap supaya pihak polis dapat membuat siasatan menyeluruh bagi memastikan tiada perkara buruk berlaku.

 

“Saya berasa terkejut, ini bukan budaya rakyat Malaysia, memandangkan rakan saya, iaitu ADUN Keranji, Chong Zhemin telah membuat laporan polis, saya harap PDRM akan membuat siasatan untuk mencegah segala kemungkaran dan malapetaka berlaku.

 

“Isu ini bukan hanya berkaitan dengan saya tetapi juga keselamatan seluruh pimpinan Kerajaan termasuk YAB Perdana Menteri, diharapkan polis mainkan peranan proaktif dalam melindungi keselamatan pimpinan Kerajaan baru,” katanya.

 

Kor Ming berkata demikian kepada pemberita dalam majlis perasmian Pusat Khidmat ADUN Kepayang di Jalan Teh Hawa, di sini pada Sabtu.

 

Kor Ming berkata beliau dimaklumkan status itu sudah dipadam di Facebook.

 

“Kita akan lihat kepada IP Address dan laporan akan dibuat kepada SKMM untuk mengetahui pesalah yang berselindung di sebalik kiriman status itu,” katanya.

 

Semalam, ADUN Keranji, Chong Zhemin membuat laporan polis supaya pemilik akaun Facebook atas nama Jin Hong ekoran memuat naik status didakwa berunsur ugutan terhadap Kor Ming dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Ching Tong.

 

Laporan media menyebut Zhemin menyedari status berkenaan dimuat naik kira-kira jam 9 pagi dalam bahasa Mandarin tertulis ayat berbaur ugutan dengan disertakan gambar kedua-dua pemimpin DAP itu bersama sepucuk pistol.

 

Ia ditulis “Kedua-dua ini dari Pakatan Harapan. Yang saya geram, engkau tunggu, saya akan bunuh kamu, kau berdua akan pergi menemani Teoh Beng Hock’.