TELUK INTAN: Koperasi Orang Melayu Kerajaan (SKOMK) Perak Berhad yang beribu pejabat di Teluk Intan adalah koperasi terbaik yang boleh dijadikan contoh koperasi lain di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, koperasi itu berjaya mempelbagai aktiviti sehingga berjaya menjadi koperasi yang ke – 50 terbaik di seluruh negara.

Menurut beliau, antara aktiviti koperasi itu ialah perkhidmatan Ar-Rahnu, pasaraya, kedai COOP, kedai Myfarm, dewan serbaguna, pusat pengedaran barangan pengguna, menyediakan ruang perniagaan untuk usahawan, menyewa ruang pejabat untuk disewa dan yang terbaru merancang melaksanakan projek perumahan dengan kerjasama UPSI.

“SKOMK berjaya kerana mempunyai barisan Ahli Lembaga Pengarah yang amanah, rajin tekun, berintergriti, jati diri, tabah, bekerjasama berpasukan dan sifat-sifat murni sebagai usahawan,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Dewan SKOMK, Pelancaran 12 Produk Berjenama SKOMK dan produk Bio-Fert Agrimo.

Bio-Fert Agrimo ialah baja tanaman ciptaan penuntut Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan yang dikomersialkan melalui koperasi kolej tersebut.

Hadir sama Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Perak, Zainun Hamzan Stapa, Pengerusi SKOMK, Kassim Muhammad dan Pengarah Kolej Vokasional Pertanian Teluk Intan, Rusli Sharkom.

 

SKOMK perak berhad

Sambil mengucapkan tahniah kepada koperasi itu, Samsudin berharap agar lebih 5,000 ahli SKOMK dapat bersama-sama menyokong dan membantu perniagaan koperasi untuk menjadinya lebih berjaya di masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan pengalaman SKM, didapati sesebuah koperasi akan mencapai kejayaan sekiranya mempunyai ciri-ciri 7S dan 1P.

Menurutnya, ciri-ciri itu ialah strategik; sistematik; semangat; sama-sama menyokong aktiviti koperasi; sungguh-sungguh untuk maju; sehati sejiwa bekerja dalam satu pasukan; sumbangan modal dan pemimpin yang dinamik, jujur, amanah dan sifat-sifat yang baik.