IPOH: Bagi meraikan kejayaan pasukan Perak melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2018, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memasang skrin gergasi di Dataran Stesyen Keretapi Ipoh pada Sabtu ini, mulai jam 8.00 malam.

MBI dalam kenyataannya menjemput seluruh peminat bolasepak Perak untuk hadir beramai-ramai bagi memberi sokongan kepada pasukan The Bos Gaurus.

Dalam pada itu, pihak MBI menafikan dakwaan kononnya Menteri Besar , Ahmad Faizal Azumu akan menyediakan makanan percuma seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

MBI kesal dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu tersebut.

Justeru, MBI menyeru orang ramai untuk mendapatkan maklumat rasmi daripada pihaknya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan menyebarkan maklumat yang salah.

“Ayuh kita gegarkan Dataran Stesen Keretapi Ipoh. Semoga pasukan Perak akan berjaya menunaikan harapan rakyat negeri ini untuk membawa pulang piala yang paling berprestij dalam sukan bolasepak Malaysia ke Perak,” kata kenyataan itu.