IPOH – Pertandingan Quest International University Perak (QIUP) Touring Perak Board Game 2018 telah berlangsung buat julung kalinya di SM St. Michael, hari ini.

Pertandingan ‘edu-tourism’ yang berkonsepkan Play 2 Learn & Play 2 Win ini melibatkan 32 buah sekolah menengah peringkat Negeri Perak anjuran Tourism Perak Management Berhad, QIUP, Suara Perak dan 6Sense Technologies Sdn Bhd dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perak.

SM Jelapang Jaya dari Manjoi, Ipoh muncul juara dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,200, sijil penyertaan Duta Sekolah 2018 dari Perak Tourism.

Hadiah lain turut dimenangi adalah biasiswa Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dalam Hospitaliti dan yuran tuisyen Pengurusan Pelancongan untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 bernilai RM36,000.

Hadiah disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Bercakap kepada media selepas merasmikan majlis itu, Norlee berkata program kali pertama ini melakar sejarah dengan memperkenalkan pelancongan melalui board game khasnya untuk generasi muda.

“Kita lihat hari ini sekiranya ingin memartabatkan lagi industri pelancongan kita perlu ada masyarakat ataupun rakyat di dalam negeri sendiri yang mempunyai pengetahuan yang secukupnya berkenaan dengan produk-produk pelancongan yang ada.

“Jadi ini adalah antara kempen kerajaan negeri bagi merakyatkan usaha-usaha dan industri pelancongan supaya kita dapat mempertingkatkan lagi daripada segi hospitaliti, perkhidmatan, sopan santun apabila kita menerima pelancong-pelancong datang ke negeri Perak,” katanya.

Turut hadir ialah Penolong Pengarah Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Perak Dr Adlan Mohamed Yusof, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Zuraida Md Taib, Pengarah Urusan 6SenseTechnology Rohaida Abd Kahar, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar Rohaida Ishak sebagai Ketua Juri dan Pengarah Urusan Suara Perak Azman Bakri.

Menurut beliau, pelajar berumur di antara 13 tahun sehingga 17 merupakan duta terbaik kerana ia membolehkan mereka belajar mengenai pelancongan sejak dari muda tetapi mereka juga merupakan kumpulan-kumpulan yang akan berkunjung dan melawat ke destinasi-destinasi yang sedia ada di negeri ini.

“Kita tahu kalau di negeri kita, selalunya orang Perak tidak akan melawat produk-produk di negeri Perak ‘it’s like it is so near, belakang backyard kita’ tetapi sekiranya mereka tahu ada produk-produk yang menarik kemungkinan besar kita akan dapat memberikan stimulasi kepada rakyat Perak sendiri untuk berbelanja di dalam negeri kita yang cukup besar ini sekaligus dapat berkongsi maklumat tersebut dengan rakan-rakan bukan saja di dalam Malaysia tetapi juga dari negara-negara lain,” tambah beliau.

Kerajaan negeri merancang untuk menganjurkan pertandingan board game ini pada skala besar pada tahun 2019 dengan bantuan kolaborasi sedia ada seperti Suara Perak dan QIUP.

Beliau bagaimanapun berharap penyertaan lebih tinggi dari semua sekolah di 10 daerah tahun depan bagi memastikan penyertaan menyeluruh.

“Kita mahu lihat lebih banyak sekolah kerana ia boleh berfungsi sebagai kempen untuk mendidik pelajar-pelajar berkenaan dengan pelancongan yang secara tidak langsungnya juga berkenaan dengan sejarah negeri Perak,” katanya.

Touring Perak Board Game ini direka untuk mendidik para pemain dengan sejarah, geografi, warisan, budaya masyarakat Perak. Ia melibatkan perjalanan ke Ipoh iaitu ibu negeri Perak melalui empat pintu masuk iaitu dari tenggara (Tanjung Malim), barat laut (Kampung Kedah, Parit Buntar), barat daya (Kampung Teluk Kerdu, Hutan Melintang dan timur laut (Hentian Titiwangsa) Temenggor.

Seperti permainan board yang lain, ia melibatkan lontaran dadu dan sesi soal jawab, bergantung kepada pengetahuan pemain dan nombor dadu ‘bertuah’ untuk memenanginya, di mana pemenang dikira berdasarkan pemain mana yang tiba di Ipoh terlebih dahulu.

Terdapat 100 soalan yang disertakan dengan set board game ini yang memerlukan para pemainnya memilih jawapan yang betul sebelum boleh meneruskan permainan menuju ke destinasi mereka.

Set board ini diberi secara percuma kepada semua sekolah menengah seluruh negeri Perak dan diharapkan melalui kelab-kelab seperti Kelab Pelancongan dan Kelab Pengembaraan para pelajar boleh memanfaatkan board game ini sebagai salah satu daripada aktivit mereka, tambah Nolee.

Sementara itu, pelajar Tingkatan Lima yang mewakili SMK Jelapang Jaya Muhammad Aqil Danish Razlan dan Aida Zahirah Ismail mengakui mereka berasa teruja dan tidak percaya di atas kemenangan tersebut.

“Kami dipilih secara rawak oleh guru untuk mewakili pertandingan ini dan alhamdulillah kami berjaya mucul sebagai juara,” ujar Muhammad Aqil Danish.

Tiga lagi sekolah yang berjaya ke peringkat akhir ialah SMK Seri Manjung yang memenangi tempat kedua, SMK Tambun (tempat ketiga) dan Kolej Melayu Kuala Kangsar di tempat keempat.

1/6