PASIR SALAK 12 April – Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan yang ketujuh di negeri ini dibina di Daerah Hilir Perak di Sungai Manik dekat sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang merasmikan majlis pecah tanah pembinaan sekolah itu hari ini berkata, ia melibatkan kos RM29.5 juta dan akan menempatkan 300 pelajar.

“Jabatan agama menetapkan sekolah ini dikhaskan untuk pelajar perempuan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pecah tanah pembinaan sekolah tersebut Sungai Manik di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Faizal berkata, pembinaan Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan di negeri ini diharap menjadi wadah untuk melahirkan cendekiawan Islam pada masa depan.

Menurutnya, pendekatan sekolah tersebut yang menawarkan kurikulum pendidikan sains yang digabungkan dengan penekanan terhadap ilmu agama dan al-Quran adalah sesuatu yang amat dibanggakan.

“Ini secara tidak langsung membantu membina generasi muda yang kaya dengan nilai-nilai agama tanpa menyisihkan kepentingan ilmu sains dan teknologi.

“Ini adalah selari dengan nilai Islam sebagai agama yang syumul dan umatnya yang berjaya mengimbangi di antara keperluan di dunia dan akhirat,” katanya. – UTUSAN ONLINE