IPOH: SME Corp Malaysia Pejabat Negeri bersama-sama 13 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Perak telah meraikan 40 kanak-kanak istimewa dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Ipoh pada Selasa.

Kesemua kanak-kanak istimewa itu telah diraikan dalam Program School Run 2017 anjuran sekolah tersebut di Bulatan 18, Bandara Meru Raya pada pagi Selasa.

Pengarahnya, Mohamad Rozlan Mohamad Razalli berkata, program itu dibuat bagi mendekatkan hubungan antara usahawan dan 40 kanak-kanak terlibat.

SME 3

“Ini merupakan kali pertama SME Corp Malaysia Perak terlibat di dalam program ini dan diharapkan kerjasama sebegini akan berterusan di masa akan datang.

“Ini juga sebagai platform kepada masyarakat untuk lebih mengenali fungsi dan bantuan yang disediakan oleh SME Corp Malaysia kepada komuniti usahawan negeri Perak,” kata beliau ketika berucap dalam majlis tersebut.

Sebanyak 5 kategori telah dipertandingkan dalam program itu iaitu Murid bermasalah pendengaran (lelaki),Murid bermasalah pendengaran (perempuan),Murid bermasalah pembelajaran, Murid pelbagai kecacatan dan Murid prasekolah.

Hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Mohamad Rozlan dan diiringi oleh Penolong Kanan HEM sekolah berkenaan, Ramli Ahmad.

Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada 13 usahawan PKS yang terlibat menjayakan program berkenaan.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada mereka yang memberi pelbagai sumbangan seperti produk, tajaan hamper, sarapan serta wang tunai.

“Terpancar kegembiraan di wajah murid-murid istimewa ini dan moga Allah S.W.T merahmati dan memberikan rezeki yang melimpah luah pada tuan puan sekalian,” katanya.

13 PKS yang terlibat adalah Butik Langsir Aziati, Che Din Food, Mr Mushashi, A.Jamaliah Enterprise, DSC Wash, Shahrinie Food, Nur Ain Atikah, GR North, D Amra Tree – Ipoh Lay Chee Kang,Jwan Delight,Ellycious Delight, 21 Grilled dan Coklat Idayang.

Sementara itu, Ramli memberitahu kesemua pelajar lingkungan usia 6 hingga 13 tahun itu merupakan kanak-kanak istimewa dalam kategori masalah pendengaran dan masalah belajar.

“Program ini kalau kita buat di sekolah ianya akan melibatkan kelompok kami sahaja sebab itu kita memilih untuk adakan di luar supaya kita bercampur dengan masyarakat.

“Bukan sahaja manfaat kepada pelajar-pelajar tetapi juga kepada masyarakat umum yang kebanyakkan tidak tahu kewujudan sekolah khas ini, jadi ianya dapat meningkatkan kesedaran mereka,” jelas beliau ketika dihubungi Suara Perak.

SME 5

SME 4