KUALA SELANGOR: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puncak Alam, di sini, muncul tempat pertama bagi SMK harian di daerah ini apabila tujuh pelajarnya mendapat semua A dalam sembilan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.

Pengetuanya, Johari Mohd Noh, berkata pencapaian itu adalah yang terbaik sejak sekolah dibuka pada 2005.

Katanya, kecemerlangan sekolah itu dalam SPM 2017 adalah hasil kesungguhan semua pihak membabitkan pemimpin setempat, pentadbir sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah, guru dan masyarakat sekitar.

“Sekolah ini mencapai peningkatan gred purata sekolah (GPS) daripada 4.94 kepada 4.49, semua A dalam subjek yang diambil dalam SPM daripada empat kepada tujuh pelajar dan tempat pertama kedudukan GPS dalam kalangan SMK harian daerah Kuala Selangor.

“Dalam kejohanan olahraga peringkat daerah Kuala Selangor, SMK Puncak Alam menduduki tempat keempat daripada 22 sekolah menengah,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada Festival Nasyid peringkat daerah ini, SMK Puncak Alam mendapat tempat ketiga.

Kejayaan itu, katanya, adalah berkat usaha guru yang sentiasa gigih dalam memastikan kejayaan pelajar.

Katanya, PIBG SMK Puncak Alam yang diketuai Yang Dipertua, Bakhtiar Dollah (YDP) juga banyak memberi sokongan atas pencapaian cemerlang sekolah itu – berita harian