IPOH: Sekolah Menengah Tahfiz Darul Ridzuan (SMTDR) Batang Padang terus cemerlang apabila muncul sekolah terbaik negeri Perak dalam Peperiksaan I’dadi dan Thanawi 2016, buat tahun ke dua berturut-turut.

Selain itu, pelajar sekolah berkenaan, Nur Fatin Nadirah Azlan juga muncul pelajar terbaik I’dadi 2016.

Peperiksaan Idadi adalah untuk pelajar tingkatan dua manakal Thanawi untuk pelajar tingkatan empat.

SMTDR Batang Padang yang ditubuhkan kerajaan negeri mulai 2012, muncul sekolah terbaik I’dadi pada 2013 sebelum menjadi sekolah terbaik di dalam kedua-dua peperiksaan itu pada 2015.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, secara keseluruhan, pencapaian I’dadi tahun lalu merosot sebanyak 0.8 peratus kepada 2.59 mata, berbanding 2.63 mata tahun 2015.

Bagaimanapun, kata beliau, bilangan calon yang mendapat keputusan mumtaz (cemerlang) dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 253 orang atau 24.05 peratus, berbanding 22.15 peratus tahun sebelumnya.

“Bilangan yang memperolehi pangkat jayyid jiddan (amat baik) adalah 34.13 peratus, jayyid (baik) 25.48 peratus, maqbul (lulus) 9.70 peratus dan rasib (gagal) 6.65 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan itu di Sekolah Raja Perempuan Taayah di sini pada Jumaat.

Drs Nizar memberitahu, bagi keputusan Thanawi pula, secara keseluruhannya meningkat 5.6 peratus kepada 2.42 mata, berbanding 2.7 mata pada 2015.

Menurutnya, calon yang mendapat pangkat mumtaz 467 orang (20.94%), jayyid jiddan 872 (39.10%), jayyid 546 (24.48%), maqbul 168 (7.58%) dan rasib 176 (7.89%).

Beliau turut mengumumkan Sofia Hanisah Azlan dari Sekolah Raja Perempuan Taayah sebagai pelajar terbaik Thanawi 2016.

Sofia yang ditemui berkata, sebelum mengulangkaji, dia mesti membaca al – Quran dan mendoakan untuk ibu bapa, walaupun sedikit.

Dia yang pernah menjadi pelajar terbaik I’dadi dua tahun lalu, bercita-cita menjadi doktor, mengikut langkah kakaknya yang sedang mengikuti bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Sementara itu, pengetua SMTDR Batang Padang, Norlia Hamzah berkata, antara amalan yang dilakukan di sekolahnya ialah qiamullail dan dhuha.

bebcb9b1-142c-45b1-9f3e-8dc5617d6ab2

77aeb0e4-1795-4a12-9214-a266207beba1

5dcca78f-d05f-4182-884a-e36e780887e1