BERUAS: Selama ini bihun hanya sinonim untuk menu goreng atau sup. Namun kreativiti dua sahabat di sini berjaya membawa produk ini lebih jauh dengan ciptaan snek bihun dalam lima perisa.

Jika diamati, snek ini tidak tumpah seperti kuih cakar ayam kerana bentuk teksturnya sama. Apa yang membuatkannya berbeza adalah ramuan yang digunakan selain rasanya lebih enak serta kurang manis.

Norshidah Chik Zaitun yang mengusahakan perniagaan Pelangi Ayu bersama rakan, Zaiton Abd Hamid menjelaskan snek bihun ini tersedia dalam lima perisa menarik seperti pelangi (variasi warna), coklat milo, bilis pedas, pandan dan jagung.

“Kami cipta sendiri resipi ini, mula-mula memang susah nak hasilkan dan makan masa jugalah. Mula-mula boleh tercipta snek ini disebabkan rakan saya merasakan kuih cakar ayam terlalu manis.

“Lalu dia pun olah bihun jadi snek, cakar ayam dihasilkan dengan ubi keledek sedangkan snek ini guna bihun,” kata Norshidah ketika ditembual oleh Suara Perak.

Walaupun nampak ringkas tetapi cara menghasilkan snek bihun boleh dikatakan agak sukar dan memerlukan kerja yang teliti.

“Waktu kami mula-mula buat dulu memang susah, makan masa tahun juga untuk hasilkan snek bihun yang sempurna.

“Bihun tidak boleh direndam dengan air, tetapi ia dihancurkan guna tangan. Masak air gula dan sebatikan dengan bihun, campurkan dengan warna atau perisa dan masukkan ke dalam acuan kemudian barulah digoreng,” katanya.

Menurutnya lagi, permintaan terhadap snek itu amat menggalakkan, khususnya di waktu perayaan dan kini mereka sedang berusaha untuk meluaskan pasaran produk itu ke seluruh negara.

“Setakat ini kami letak produk di beberapa kiosk sekitar Perak dan Alhamdulillah orang ramai gemarkan snek ini.

“Mereka juga boleh buat tempahan untuk memilih perisa yang ada kerana kami masih dalam proses percubaan untuk lihat bihun perisa apa paling digemari.

“Kalau selama ini kami campurkan semua perisa dalam satu balang / paket untuk perkenalkan semua perisa yang ada dan dari maklumbalas yang diterima, perisa pelangi kerapkali dapat permintaan tinggi,” ujarnya.

Untuk sebarang tempahan snek bihun boleh hubungi Zaiton (O165386339) dan Norshidah (0165036533). Alamat No 37 A, Kg Padang Serai Dalam, Batu Hampar. Beruas.