SEBELUM menjejakkan kaki ke Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Jernang di Sungkai, kami sudah dimaklumkan dengan keadaan dan struktur jalan masuk ke kampong itu yang tidak sesuai untuk kenderaan biasa.

Difahamkan hanya pacuan empat roda dan motosikal yang mampu mengharungi jalan berbatu dan tidak berturap sepanjang hampir lima kilometer itu.

Namun begitu, penulis bersama-sama jurugambar mencuba nasib dengan mengharungi jalan tersebut dengan hanya menaiki kereta dan ternyata, perjalanan kami tersekat di pertengahan jalan!

Kereta Bertukar Motosikal

Tidak berputus asa dengan halangan itu, kami berpatah balik ke jalan utama dengan harapan untuk meminta pertolongan supaya perjalanan yang masih berbaki beberapa kilometer dapat diteruskan.

Mujur kami terserempak dengan seorang penduduk tempatan yang sudi meminjamkan motosikal miliknya.

“Kalau ke sana memang tidak sesuai naik kereta, lagi-lagi kereta yang rendah, boleh rosak disagat batu-batu besar. Kalau redah juga memang boleh tapi tayar mungkin rosak dan pancit,” ujar Adam membuka bicara.

Adam merupakan salah seorang petugas di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungkai, dan menurutnya, sebahagian jalan menuju ke perkampungan Orang Asli RPS Jernang tidak berturap atas sebab tertentu.

“Sebahagian jalan ke sana (kampung Orang Asli) merupakan rezab jalan Jabatan Perhilitan Perak, ia sengaja tidak diturap bagi mengelakkan orang luar keluar masuk mengambil hasil hutan secara berleluasa,” katanya.

Hapus Stigma Hanya Hebat Dengan Sumpit

Secara asasnya, RPS Jernang merangkumi lima buah kampung dengan jumlah keseluruhan penduduk sebanyak 1,590 orang daripada 378 keluarga.

Kemudahan asas di perkampungan tersebut serba lengkap dengan bekalan elektrik dan air terawat, di samping adanya dewan serbaguna, tabika, sekolah dan balai rawatan.

IMG_1001Sesampainya kami di RPS Jernang, kelihatan sekumpulan lelaki sedang menunggu giliran untuk menyertai pertandingan menyumpit di Karnival Orang Asli bersempena Permukiman Menteri Besar di Daerah Muallim.

Tanpa berlengah-lengah, penulis menyapa seorang penduduk yang dikenali sebagai Anyam a/l Jamal, seorang pemandu van dari suku Semai.

Kesempatan yang ada digunakan untuk bertanya serba sedikit berkaitan proses menghasilkan sumpit dan cara menggunakannya dalam kehidupan seharian.

Anyam, 38, menceritakan, sumpitan bukan sekadar senjata tetapi sudah menjadi simbol kepada Orang Asli.

“Selalunya kami menggunakan buluh bertam untuk membuat sumpit. Kalau betul cara guna dan menjaganya, sumpit memang boleh bertahan sampai bertahun-tahun lamanya,” katanya.

Dia menambah, masyarakat Orang Asli kini tidak lagi berada di takuk lama kerana sudah mula berhijrah ke bandar dan ramai di antara mereka memiliki pekerjaan yang lebih baik.

Sofbol ‘Jiwa’ Anak-Anak Masyarakat Orang Asli RPS Jernang

Bakat anak-anak Orang Asli di sini juga digilap dalam sukan sofbol apabila mereka berjaya meraih beberapa siri pencapaian di pelbagai peringkat.

Sofbol ialah sukan melontar bola yang popular di luar negara khususnya di Amerika Syarikat dan Jepun.

e8b3e3ed-d7be-4e20-b4f1-52855b15413d

Menurut Pengerusi Teknik dan Pembangunan Sukan di SK Pos Jernang, Mohd Fikri Mohd Shaari, peserta yang terdiri dari anak-anak Orang Asli dilatih sejak di bangku sekolah rendah.

“Pasukan sofbol ini seratus peratus disertai oleh anak-anak Orang Asli. Mereka menunjukkan minat dan dedikasi melalui sukan ini. Kejayaan di dalam sukan ini turut mendorong mereka fokus dalam pelajaran,” katanya.

Lebih membanggakan masyarakat Orang Asli di situ ialah apabila anak-anak itu mencipta sejarah dengan memenangi beberapa pertandingan sofbol di peringkat kebangsaan dan negeri.

Meletakkan harapan agar kejayaan pasukan sofbol itu dicontohi oleh generasi baharu Orang Asli, seorang ibu kaum itu, Suha Kaman berkata, kegigihan dan pencapaian anak-anak tersebut mampu menjadi pendorong kepada masa hadapan yang lebih baik untuk kaumnya.

IMG_0944Sambil merenung jauh, Suha, 27, ibu kepada tiga orang anak itu berkata, biarlah kejayaan mereka menerbitkan sinar yang jauh lebih terang bagi anak-anaknya dan seluruh generasi baharu Orang Asli.

“Kalau anak-anak saya sudah besar dan bersekolah, saya mahu mereka berjaya dalam hidup dan pelajaran. Sekurang-kurangnya mereka dapat menunjukkan kepada dunia yang kami juga boleh berjaya,” katanya.

IMG_0936