IPOH: Parlimen Belia Malaysia dan Dewan Belia Negeri Perak menyokong aspirasi Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin supaya Bajet 2018 dapat mengangkat satu agenda sosial untuk membangunkan modal insan kelas pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan Parlimen Belia Malaysia, Dewan Belia Negeri Perak, Mohd Adri Adha Mohamad berkata, ketamadunan sesebuah bangsa dan negara bukan terletak pada nilai batu batanya tetapi terletak kepada nilai insan yang terbangun di dalamnya.

Menurut beliau, usaha untuk membangunkan modal insan yang lebih bersikap kolektif adalah cadangan yang bukan harus diperhalusi malah disegerakan.

“Kita tidak mahu walau seorang pun generasi yang akan berada pada tahun 2050 tidak mempunyai nilai sumbang yangg signifikan kepada nusa dan bangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat.

Khairy di dalam rencana yang disiarkan media hari ini berkata, agenda sosial itu adalah satu lagi agenda yang perlu diberi penekanan khusus dan diangkat sebagai satu usaha besar yang merentasi kementerian.

Adri berkata, cadangan itu adalah berteraskan kepada kepercayaan bahawa generasi hari ini sudah mempunyai kesedaran bahawa mereka diperlukan oleh negara.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, kadar celik di kalangan mereka terhadap perkara yang perlu dilakukan masih rendah.

“Justeru cadangan pembangunan dan pemerkasaan modal insan dengan penglibatan rentas kementerian adalah suatu yang bertepatan agar setiap dari kita bertangguanjawab memimpin generasi ini ke destinasi yang sepatutnya,” ujarnya.

Oleh yang demikian, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak , Perdana Menteri Malaysia akan menjadikan agenda sosial antara keutamaan di dalam Bajet 2018 yang dijangka dibentangkan pada 27 Oktober ini.