IPOH – Sokongan terhadap produk halal tidak seharusnya dijadikan sebagai satu sentimen perkauman kerana ia sebenarnya lebih menjurus kepada tuntutan fardu kifayah terhadap umat Islam itu sendiri.

Exco Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan Perak, Asmuni Awi berkata, tuntutan terhadap produk halal di negara ini ternyata begitu tinggi kerana 60 peratus pengguna melibatkan orang Islam.

“Kita perlukan barangan halal dan bila kata barangan halal, kita sudah tentu tidak meraguinya kerana semestinya ia barangan produk daripada orang Islam, jadi keyakinan kita ada.

“Sebab itulah kita lihat tuntutannya begitu kuat, apatah lagi 60 peratus pengguna di negara ini adalah orang Islam dan ini sekali gus menggalakkan orang Islam untuk terlibat dalam perniagaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, sudah tiba masanya agar orang Islam sendiri yang dalam proses penyediaan produk halal terutamanya makanan dalam usaha menangani permasalahan ummah pada hari ini.

“Ini kerana produk Islam ini begitu tinggi permintaannya tetapi ramai yang ceburi dan terlibat dengan perniagaan barangan halal ini adalah orang bukan Islam.

“Sudah tiba masanya umat Islam melibatkan diri sepenuhnya dalam penyediaan produk halal di negara ini kerana hanya umat Islam yang mengetahui konsep halal yang sebenar,” katanya sebagai mengulas berhubung Kempen Sokong Produk Muslim yang kini giat dijalankan di seluruh negara.

Asmuni berkata, konsep halal itu mestilah halalan thoyyiban iaitu perlu diberikan perhatian serius terhadap tahap kebersihan dan suci daripada sumbernya, penyediaannya, memasak (makanan).

“Saya bukan nak prejudis atau rasis tetapi seharusnya bagi orang Islam itu ia adalah fardu kifayah untuk libatkan diri untuk sediakan barangan keperluan asas seperti makanan, peralatan kosmetik, ubatan dan sebagainya.

“Untuk jadikan ia budaya dan jadikan ia berjaya, sokongan itu penting. Tak kiralah orang Melayu, Cina atau India asalkan Islam. Oleh itu pihak pembekal dan pengguna perlu sentiasa bersungguh-sungguh dalam hal ini untuk pastikan produk dikeluarkan menepati konsep halalan toyyiban,” katanya – sinar harian