BANGI : Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak terkejut dengan tindakan pemimpin parti pembangkang, termasuk PAS yang menyokong Dr Mahathir Mohamad menggalas tugas perdana menteri sehingga tamat tempoh lima tahun penggal pentadbiran kerajaan.

Anwar berkata, sokongan pemimpin pembangkang itu tidak relevan memandangkan isu membabitkan perubahan pucuk pimpinan seharusnya dibawa dan diselesaikan dalam mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).

“Itu tidak mengapa (sokongan pembangkang termasuk PAS terhadap Mahathir). Pembangkang biasalah, hendak timbulkan masalah. Dahulu semasa Barisan Nasional (BN) pembangkang tidak pula disuruh pilih calon perdana menteri.

“Ia bukan soal pembangkang. Saya ingat, isu itu juga sudah dijawab Presiden PPBM Muhyiddin Yasain, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang dan juga PKR.

“Parti berkuasa sekarang ini yang menentukan siapakah pimpinan. Sekarang kita sokong Mahathir,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada Seminar Pembinaan Bangsa Malaysia, di sini, hari ini.

Sebelum ini, enam ahli Parlimen Umno tampil memberi sokongan supaya Mahathir meneruskan mandat sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya umum akan datang.

Enam pemimpin berkenaan adalah Mohd Shahar Abdullah (Paya Besar), Adham Baba (Tenggara), Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar), Abdul Rahman Mohamad (Lipis), Ismail Abdul Muttalib (Maran), dan Ahmad Nazlan Idris (Jerantut).

Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan turut memberi jaminan bahawa kesemua 16 ahli Parlimen parti itu kan turut memberi sokongan kepada Mahathir.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menyifatkan pihak yang ghairah mahu mengubah pentadbiran kerajaan lebih awal sebagai percubaan menubuhkan kerajaan menggunakan ‘pintu belakang’.

Azmin berkata, rakyat sudah menyerahkan mandat kepada pentadbiran sedia ada untuk mentadbir kerajaan untuk tempoh lima tahun pada pilihan raya umum ke-14 Mei tahun lepas.