HUTAN MELINTANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru warga Kem Tentera Hutan Melintang agar terus setia memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada, Barisan Nasional menjelang PRU 14 kelak.

Ahmad Zahid menjelaskan bahawa setiap daripada sokongan warga kem tentera itu adalah amat bermakna dan diperlukan bagi menyambung legasi pembangunan serta usaha penambahbaikan daerah yang kini pesat dilaksanakan di Bagan Datuk.

Katanya, tidak seperti pihak pembangkang, beliau yakin penduduk di Bagan Datuk bukanlah melontarkan sokongan dan janji secara bermusim sebaliknya menunjukkan semangat terbaik terhadap bantuan yang diberikan kerajaan.

“Apabila tiba Hari Raya (PRU-14) akan datang, saya harap warga Kem Hutan Melintang dapat beri sokongan kepada kerajaan sedia ada.

“Sokongan itu penting untuk menentukan kem ini terus diterajui oleh kerajaan sama sekali gus menjadikan Kem Hutan Melintang sebagai kem terbaik di negara ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan perasmian Program Majlis Sehari Bersama Timbalan Perdana Menteri ‘Kesetiaan Selamanya’ dan Hari Keluarga Kem Hutan Melintang di Sekolah Menengah Kebangsaan Hutan Melintang di sini hari ini.

Di kesempatan itu, Ahmad Zahid juga meluangkan masa meraikan Hari Keluarga yang turut dihadiri kira-kira 1,700 anggota serta ahli keluarga dari Batalion 23 Rejimen Askar Melayu Diraja(RAMD), Ipoh dan Rejimen Artileri Diraja (RAD), Taiping.

Turut hadir, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan General Datuk Azizan Md. Delin; Panglima Markas 2 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Ramli Jaafar; Panglima 2 Briged, Mejar Jeneral Datuk Mohd. Nizam Jaafar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya dan Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Hussin.

Dalam majlis tersebut, Ahmad Zahid turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Tabung Kebajikan Rejimen Kem Hutan Melintang yang disampaikan oleh Hamzah kepada Nizam.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, pihak kerajaan tidak memberi sumbangan secara bermusim dan akan terus memberi manfaat kepada anggota tentera.

“Jangan bila ada musim buah, baru kelawar (pembangkang) datang. Orang Bagan Datuk bukan seperti itu, kita seperti buah kelapa yang berbuah sepanjang tahun.

“Begitulah semangat penduduk-penduduk di sini,” katanya.

Kem Hutan Melintang dibuka pada 16 September lalu bakal menempatkan 5,000 anggota dan pegawai tentera secara berperingkat.