IPOH: Majlis bacaan Yasin dan solat hajat diadakan di Kediaman Rasmi Menteri Besar khusus untuk para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan di negeri ini.

IMG-20171006-WA0007Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir memberitahu, majlis itu bertujuan untuk mendoakan kejayaan bagi pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan tidak lama lagi.

Ia merangkumi Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Beliau turut berharap majlis itu dapat merapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama umat Islam.

“Saya doakan anda berjaya dalam menempuhi peperiksaan tidak lama lagi, percaya kepada usaha, doa serta tawakal kepada Allah,” katanya kepada para pelajar yang hadir di majlis itu.

IMG-20171006-WA0004Hadir sama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Mat Lazim Idris dan Ustaz Mohd Azmi Ghazali sebagai penceramah jemputan.

Kira-kira 500 orang menghadiri majlis tersebut, yang terdiri daripada pelajar maahad tahfiz, anak yatim serta muslimin dan muslimat di sekitar Ipoh.

Majlis tersebut telah dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah, diikuti dengan bacaan tahlil, Yasin, solat Isya’ dan solat hajat sebelum diakhiri dengan jamuan makan dalam talam.