KANGAR : Solat Jumaat di seluruh Perlis, hari ini, dibatalkan dan diganti dengan sembahyang zohor di rumah selepas mengambil kira situasi semasa penularan COVID-19.

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ketika mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan, hari ini, menjelaskan keputusan berkenaan dibuat selepas mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, semalam.

“Selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai perkembangan COVID-19, serta menerima panduan dan irshad daripada Jawatankuasa Fatwa Perlis, maka MAIPs bagi menjunjung titah perintah dan perkenan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, dengan ini memutuskan agar solat Jumaat di seluruh Perlis pada 13 Mac 2020 digantikan dengan solat zohor di rumah masing-masing.

“Hal ini adalah rentetan perkembangan terbaru seperti yang telah dimaklumkan KKM. Justeru, pihak kementerian meminta agar sebarang perhimpunan berskala besar, termasuk aktiviti agama, hendaklah dielakkan,” katanya.

Dalam pada itu, MAIPs turut mengingatkan pihak pengurusan masjid di negeri ini supaya memainkan peranan untuk membantu usaha mengekang penularan COVID-19.

“Pengurusan masjid di seluruh Perlis hendaklah mengelak daripada melaksanakan apa-apa aktiviti perhimpunan awam berskala besar buat masa ini.

“Maka, dinasihatkan agar individu Muslim sentiasa mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan penularan COVID-19,” katanya.

Semalam, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, meminta ahli jemaah yang mempunyai simptom atau berpotensi menjadi pembawa virus itu, supaya tidak ke masjid bagi mengelakkan COVID-19 daripada terus merebak.