Oleh: Aida Aziz
BAGI kebanyakan lelaki Melayu Islam, persiapan kelengkapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pastinya tidak banyak beza berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Boleh dikatakan serba ringkas, asalkan kena dengan padanan warna dan gaya mengikut kesesuaian fesyen masing-masing.
Bagi mereka yang memilih untuk mengenakan baju Melayu, iaitu baju tradisional bagi masyarakat Melayu, tentunya tidak lengkap tanpa pemakaian songkok di kepala.
Berdasarkan kepada itu, tidak hairanlah jika tempahan dan pembelian songkok dalam bulan Ramadan, khususnya dalam tempoh seminggu menjelang Aidilfitri, berlipat kali ganda pulangannya.
Secara ringkas, songkok merupakan sejenis topi tradisional bagi masyarakat Melayu, yang dipakai untuk menghadiri majlis-majlis tertentu.
Ia dikatakan berasal dari Ottoman, Turki dan menjadi simbol identiti Islam seterusnya menjadi popular dalam masyarakat Melayu di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Selatan Thailand.
Tempahan Songkok Jamin Agus Menggalakkan
Perniagaan songkok yang diusahakan oleh Jamin Agus, 59, dan isteri, Deliyasni Rusli di Pokok Assam, Taiping sejak 20 tahun lalu ternyata mendapat sambutan dari orang ramai.
Jamin yang menjahit sendiri songkok sambil dibantu oleh isteri berkata, jumlah songkok yang boleh dihasilkan bergantung kepada kederatnya.
“Rumitnya buat songkok ini pada rangka, namanya polan dan kebiasaan dibuat dari surat khabar lama dan cebisan kain, ia akan dipotong mengikut saiz songkok.
“Baldu pula ada gred tertentu ikut harga, tebal dan nipis, baldu adalah kain yang digunakan untuk membalut rangka songkok yang sudah dijahit.
“Proses membuat rangka songkok dilakukan dengan menyambung badan songkok ke kepala songkok, kemudian baldu akan disatukan dengan rangka,” ujar Jamin ketika ditemui Suara Perak.
Beliau menambah, proses seterusnya adalah untuk menyemat baldu di bahagian kepala songkok dengan jarum dan dijahit bagi memastikan baldu tidak tertanggal dari rangka songkok.
Kualiti Penting Untuk Kepuasan Pelanggan
Di samping itu, katanya, kualiti songkok yang dihasilkan lebih penting berbanding kuantiti memandangkan ramai di antara pelanggan tetapnya akan menempah songkok bagi tahun-tahun seterusnya.
“Dulu masa muda dan masih kuat, saya boleh hasilkan banyak songkok dalam sehari tetapi sekarang tidak lagi kerana faktor umur, buat songkok pun agak rumit.
“Saya belajar jahit songkok pun isteri yang banyak ajarkan, sebab dia yang mula-mula jahit songkok, kemudian barulah saya tahu dengan lebih mendalam pasal songkok,” ujarnya.
Harga songkok yang dijual pula bergantung kepada jenis iaitu kanak-kanak RM 15, dewasa bagi baldu biasa RM 20 dan baldu tebal RM 65.
Mahu Anak-Anak Warisi Perniagaan Songkok
Jamin dan isterinya sangat berharap agar ilmu membuat songkok dapat diturunkan kepada dua orang anaknya, seorang masih menyambung pengajian Doktor Falsafah (PHD) di universiti tempatan dan seorang bekerja dalam bidang perhotelan.
Menurut salah seorang anak pasangan ini, Ade Syaf Putra, 30, dia masih dalam tempoh untuk mendekati dan mendalami cara untuk menghasilkan songkok dari ibu bapanya.
“Setakat ini saya hanya tolong apa yang termampu sebab masih belum mahir menjahit songkok, minat itu ada tetapi kena belajar lagi.
“Orang pakai songkok pentingkan kekemasan dan keselesaan kepala, saya pernah cuba jahit tapi tidak menjadi, kena ada kesabaran tinggi,” kata Ade Syaf Putra.