IPOH- Prosedur Operasi Standard (SOP) baharu bagi pengambilan anggota bomba wanita akan dilaksanakan secepat mungkin untuk menggalakkan lebih ramai wanita mengisi kekosongan jawatan dalam pasukan itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, ia bagi menampung kekurangan anggota bomba wanita yang kini hanya terdapat lebih 200 berbanding 14,000 anggota di seluruh Malaysia.

“Hanya dua ratus lebih saja iaitu lima peratus saja anggota bomba wanita, tidak banyak pengambilan di kalangan wanita jadi saya menggalakkan ada tugas-tugas tertentu yang memerlukan sentuhan mereka seperti trauma dan sebagainya.

“Mereka (wanita)mungkin kurang mohon kerja ini kerana sangka ia lebih kepada kerja berbentuk fizikal, panjat bangunan dan kerja yang kasar, jadi mereka rasa tidak sesuai.

“Ada jawatan-jawatan tertentu yang sesuai dengan orang perempuan dan boleh kita tingkatkan pengambilan wanita untuk anggota bomba,” katanya ketika ditemui di program perjumpaan bersama warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia negeri Perak di sini pada Ahad.

Yang turut sama Pengarah JBPM Perak, Azmi Osman.

Zuraida dalam pada itu menambah, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Ketua Pengarah Bomba Malaysia, selain memohon aspek penilaian bagi anggota bomba dilonggarkan mengikut SOP yang baharu.

Terdahulu, Zuraida menyantuni warga bomba Perak di Balai Bomba Meru Raya, di samping menyampaikan sumbangan kain telekung, bubur lambuk dan kurma.