IPOH — Kerajaan negeri berharap Sukan Orang Pekak (Sopma) ke-20 akan menjadi pentas untuk para atlet menempa nama hingga ke peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Sukan Howard Lee Chuan How, berkata, kejayaan para-para atlet itu nanti sekali gus akan membuktikan komunikasi bukan satu halangan untuk seseorang individu itu berjaya.

“Selepas temasya Sopma 2018 para atlet akan berhadapan dengan cabaran Sukan Orang Pekak ASEAN, Sukan Orang Pekak Asia Pasifik dan Sukan Deaflimpik, jadi lalukan terbaik.

“Syabas saya ucapkan kepada setiap kontinjen kerana sanggup menyahut cabaran ini walaupun banyak halangan dan rintangan yang dihadapi namun kegigihan dan kesungguhan anda untuk berjuang demi nama baik negeri amat saya kagumi.

“Bangkit dan berjuanglah sehabis daya anda untuk negeri masing-masing. Selari dengan konsep ‘Sukan Untuk Semua’, ternyata warga pekak mampu bersukan seperti atlet bukan Pekak yang ada di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Sopma di Dewan Seri Perdana Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia Sultan Azlan Shah, di sini, pada Isnin.

Pada temasya kali ini, sebanyak 46 pingat emas dipertandingkan menerusi lima acara iaitu bola sepak, futsal, tenpin bowling, badminton dan olahraga.

Sopma yang berlangsung selama enam hari mulai hari ini hingga 20 Okt melibatkan seramai 2,500 atlet dan pegawai dari 14 negeri.

Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Pekak Malaysia Kamarzaman Harun ketika ditemui pemberita berkata beliau mengharapkan akan ada lebih ramai pihak yang sudi memberi sumbangan untuk membolehkan atlet yang terpilih mewakili negara bertanding ke peringkat antarabangsa.

“Kita sangat memerlukan dana untuk menghantar para atlet ke peringkat antarabangsa,” katanya.