KUALA LUMPUR: Tindakan pihak tertentu menyorok bekalan topeng muka dan menjualnya di pasaran gelap demi mengaut untung berlipat ganda, menyumbang ‘ketandusan’ stok bahan itu ketika penularan wabak COVID-19.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Amrahi Buang, percaya kegiatan itu didalangi pelbagai kumpulan termasuk ‘orang tengah’ atau penjual kecil-kecilan seperti peniaga dalam talian, bertujuan ‘mengganggu’ pasaran sebelum menjualnya ketika harga keperluan itu meningkat.

“Sekarang ini harga topeng penutup muka daripada 80 sen melambung sehingga RM2 sekeping…ia bermakna dalam tempoh sebulan ini ada orang kacau pasaran.

“Ada pihak sorok benda ini dan hanya dikeluarkan bekalan apabila harga naik jadi RM2 (sekeping) supaya mereka dapat untung…saya tahu pasaran gelap memang ada, ” katanya kepada BH.

Beliau berkata, tiadanya kawalan ketat pihak berkuasa termasuk sistem catuan terhadap pembelian topeng berkenaan menyebabkan risiko pasaran gelap berlaku.

Selain penjualan di pasaran gelap, timbul juga masalah berkaitan penipuan oleh peniaga dalam talian terhadap penjualan topeng muka khususnya daripada aspek kualiti.

Tinjauan BH di beberapa laman sosial mendapati ada pengguna mendakwa ditipu penjual termasuk yang memberikan pelanggan tisu tebal yang dikepit dengan getah, namun dijual serendah 50 sen sekeping.

Ada juga penjual dalam talian menjual topeng muka yang diperbuat daripada benang kait sedangkan ia tidak menepati kriteria untuk menapis virus, namun harganya tinggi sehingga RM10 sekeping.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pengguna sepatutnya membuat pembelian melalui portal beli belah dalam talian yang diiktiraf, berbanding membeli daripada penjual individu.

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, ada pihak sengaja ambil kesempatan dan pengguna patut tahu bahawa topeng penutup hidung dan mulut jenis pembedahan (surgical) yang harus digunakan, bukannya jenis material lain seperti kain kerana ia tidak boleh menghalang tapisan virus.

“Begitu juga pembelian cecair pembasmi kuman di mana kita ada menerima aduan adanya berlaku ruam akibat penggunaan bahan itu yang dibeli…amat penting bagi pengguna untuk meneliti bahan untuk setiap cecair pembasmi kuman.

“Ini kerana kandungan alkohol tanpa ada pelembap dikhuatiri memberi kesan kepada kulit…begitu juga mereka kena kenal pasti peratusan kandungan alkohol terhadap sesuatu produk cecair pembasmi kuman untuk memastikan keberhasilannya, ” katanya.