HAJAT pekerja stesen minyak yang mahu ‘songlap’ wang tunai milik majikannya gagal selepas ditahan kerana membuat laporan palsu di Balai Polis Bukit Puchong, dekat Subang Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan dibuat lelaki berusia 24 tahun itu yang memaklumkan dia disamun ketika membawa wang tunai milik majikannya untuk dimasukkan ke dalam akaun bank.

“Menurut suspek, dia disamun ketika berada di persimpangan lampu isyarat Puchong Perdana dan memaklumkan wang tunai dibawanya berjumlah RM30,000 sebelum membuat laporan pada jam 4.30 petang.

“Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis melakukan siasatan terhadap lelaki berkenaan dan mendapati terdapat keraguan terhadap keterangannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohammad Azlin berkata, siasatan dilakukan mendapati suspek membuat laporan palsu dan kejadian samun itu tidak berlaku.

“Suspek kemudian dibawa ke sebuah masjid di Puchong Perdana dan menunjukkan lokasi dia menyimpan wang berkenaan kira-kira jam 8 malam, Isnin lalu.

“Pemeriksaan terhadap masjid berkenaan menemui satu beg mengandungi wang tunai berjumlah RM32,070 yang disorokkan di dalam sebuah bilik.

“Suspek memaklumkan dia sudah biasa dengan persekitaran masjid berkenaan menyebabkan masjid itu dijadikan sebagai lokasi menyorok wang tunai terbabit,” katanya yang memaklumkan suspek tidak mengetahui jumlah sebenar wang tunai di dalam beg berkenaan.

Beliau berkata, suspek berkenaan tidak ditahan sebaliknya masih menunggu arahan untuk dituduh di mahkamah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, kejadian itu adalah kes kedua yang diterima pihaknya membabitkan laporan palsu pada tahun ini.

“Polis memberi amaran kepada mana-mana pihak yang membuat laporan palsu akan diambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya – hmetro