LAWAS: Helah seorang lelaki menyorokkan dadah di dalam lipatan seluarnya gagal mengabui mata polis selepas dia ditahan di sebuah rumah di Kampung Luagan, Sundar, di sini, kelmarin.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Lawas, jam 1.30 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata serbuan dijalankan polis selepas intipan sejak beberapa hari lalu terhadap aktiviti mencurigakan suspek.

Beliau berkata, pada mulanya suspek mengakui tidak memiliki sebarang bahan terlarang namun pemeriksaan lanjut menemui dadah methamphetamin bernilai RM500 disorokkan di dalam lipatan seluar yang dipakainya.

“Serbuan dijalankan di sebuah rumah tidak bernombor yang sering dikunjungi individu dalam keadaan mencurigakan.

“Intipan pasukan BSJN kemudian mendapati rumah berkenaan dijadikan lokasi penagih untuk melepaskan gian,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Dalam serbuan sama, polis menahan lima lagi lelaki berusia 25 hingga 41 tahun yang disyaki penagih dadah.

Katanya, semua suspek yang ditahan dibawa ke Balai Polis Lawas untuk ujian air kencing.

“Ujian air kencing mendapati semua suspek positif dadah dan mereka ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya – berita harian