PUTRAJAYA: Sebahagian besar daripada agensi yang diwujudkan pentadbiran kerajaan pusat sebelum ini akan dinilai semula dan dibubarkan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ia termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang akan dibubarkan dan tugasnya dikembalikan ke Kementerian Pengangkutan.

Langkah ini diambil kerana, katanya, pentadbiran beliau ingin memastikan agensi atau jabatan yang tidak relevan tidak akan membebankan kerajaan semasa.

“Badan-badan seperti Majlis Profesor Negara (MPN) akan dibubarkan.

“Selain itu, agensi seperti JASA juga akan dibubarkan,” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.

Ditanya mengenai status projek-projek di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini, Dr Mahathir berkata, kerajaan masih lagi meneliti dan menilai projek-projek berkenaan.

“Kita sedang menilai projek mana yang harus ditamatkan, mana yang perlu diteruskan dan mana yang boleh ditangguhkan,” tambahnya – awani