IPOH – Pelantikan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baharu dibut atas dasar konsensus pucuk pimpinan Pakatan Harapan, kata Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Justeru beliau menolak dakwaan kononnya terdapat masalah dalaman dikalangan parti-parti di dalam PH berkenaan soal pemilihan Speaker yang baharu itu.

“Inilah keindahan PH di mana kami semua boleh bersama-sama mencadangkan nama namun akhirnya keputusan akan dibuat oleh pucuk pimpinan dan kita semua menerimanya secara sepakat.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 juga contohnya sebelum ini ada dikalangna kami rasa tidak senang malahan tidak berpuas hati dengan penamaan calon namun akhirnya ia akan jadi elok semula,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-14, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mendakwa wujud isu dalaman dikalangan PH berkenaan soal pemilihan Speaker.

Ini kerana beliau difahamkan sebelum ini terdapat dua calon dari pihak kerajaan iaitu Ngeh dan juga Senator Siti Aishah Shaik Ismail, namun hari ini hanya Ahli Parlimen Beruas itu sahaja diumumkan untuk calon Speaker tersebut dari pihak kerjaaan manakala dua lagi dari pembangkang iaitu BN dan PAS.

Namun Ahmad Faizal berkata, ianya merupakan proses biasa bagi mana-mana pentadbiran untuk melantik Speaker di kalangan parti memerintah dan seperti dimaklumkan oleh Setiausaha Dewan, Siti Aishah telah menarik diri daripada dicalonkan.

“Saya cakap dengan Siti Aishah, beliau terima baik keputusan yang dibuat dan saya akan pastikan peranan beliau dalam kerajana negeri Perak diguna pakai sesuai dengan peranan beliau.

“Saya rasa mereka (wakil rakyat BN) sudah mula memainkan peranan pembangkang yang bagus, kami sebagai kerajaan akan cuba naikkan integriti dewan, ini satu komitmen kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Menteri Besar yang juga ADUN Chenderiang itu juga memberitahu, pihak pembangkang kini diberikan kemudahan seperti bilik khas untuk mereka menjalankan tugas sebagai ADUN Pembangkang sepanjang Sidang DUN.

“Kami putuskan bersama Speaker baharu, pertama kalinya kerajaan telah menyediakan pejabat dan kemudahan kepada ketua pembangkang, kita iktiraf barisan pembangkang.

“Ini antara usaha kita tambah baik, mereka boleh membangkang, kami alu-alukan dalam demokrasi ini tapi bukan caranya tak berhemah,” kata Ahmad Faizal.