PARLIMEN | Kenyataan yang hanya berdasarkan laporan media atau media sosial tidak boleh lagi dibangkitkan dalam perbahasan Dewan Rakyat.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof membuat keputusan itu ketika ucapan ketua pembangkang Ismail Sabri Yaakob dalam perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong hari ini.

“Saya membuat keputusan sebarang laporan media atau media sosial yang tidak disokong mana-mana fakta kukuh yang lain, tidak boleh dibangkitkan dalam Dewan Rakyat.

“Saya sudah buat keputusan ini, dan ia perlu dipatuhi,” katanya selepas menerima bantahan yang dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) terhadap Ismail.

Mohamad Ariff berkata keputusan itu juga dibuat kerana bantahan PAS terhadap Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH-Johor Bahru) semalam.

Akmal membangkitkan laporan berita berkenaan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita aset beberapa pemimpin PAS.

Terdahulu, Ismail mencetuskan kekecohan apabila beliau cuba mempersoalkan dakwaan penglibatan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang, berdasarkan artikel oleh Raja Petra Kamaruddin.

Ismail cuba mendapatkan penjelasan berkenaan perkara itu sebelum Rayer mencelah dan menuduhnya cuba memfitnah Lim.

“Saya hanya baca hantaran Raja Petra… Ia (projek) melibatkan ratusan juta ringgit wang rakyat,” kata Ismail.

‘1MDB juga rujuk media’

Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) kemudian menggesa Mohamad Ariff agar menimbang semula keputusan itu kerana sebelum ini laporan berita dan media sosial menjadi rujukan dalam Dewan Rakyat, termasuk berkenaan dakwaan skandal 1MDB.

Beliau yang juga bekas timbalan yang dipertua Dewan Rakyat berkata Ismail sepatutnya dibenarkan menyoal Lim dan Lim boleh membalasnya ketika tiba gilirannya berbahas.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) bagaimanapun berkata keputusan yang dipertua tidak boleh dicabar mana-mana anggota parlimen kecuali melalui pembentangan usul.

Selepas kira-kira 15 minit, Ismail yang tidak menarik balik kenyataan awalnya dibenarkan meneruskan perbahasan dengan topik lain – Malaysia kini