Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Speaker Dewan Negeri Perak, S Thangeswary menafikan tuduhan kononnya setiausaha beliau, S Devandran menggunakan kotak makanan bagi kepentingan peribadi.

Pada Isnin, ADUN Buntong, A Sivasubramaniam membuat laporan polis untuk menyiasat 300 kotak makanan Yayasan Bina Upaya (YBU) yang diletakkan di bilik bangunan sekolah kerajaan kononnya bagi meraih undi bagi Devandran.

Thangeswary berkata, kotak-kotak itu adalah untuk golongan memerlukan di sekitar Buntong, bukannya bagi meraih undi setiausahanya sebagai Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

“Kami menyimpan kotak-kotak itu dengan kebenaran sekolah kerana kami ada rancangan untuk mengagihkannya kepada golongan B40, sebagai Yang Dipertua Negeri Perak, saya diberi kebenaran untuk mengedarkannya kepada sesiapa yang memerlukan.

“Kotak-kotak ini juga mempunyai nilai, jadi ianya perlu disimpan di tempat selamat dan dikawal pengawal sepanjang hari dan malam, dan mana mungkin saya seludup barang-barang di sekolah, itu adalah tempat awam,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Restoran M Salim, Jalan Yong Kalsom pada petang Isnin.

Thangeswary kesal dengan tindakan ADUN Buntong yang tidak menghubungi beliau untuk mendapatkan penjelasan mengenai hal berkenaan dan merasakan ia hanya gimik politik semata-mata.

“Tak masuk akal, ini mencemarkan nama saya, pejabat saya termasuk setiausaha saya yang ingin bertanding dalam mesyuarat PIBG,” ujar beliau.

Ditanya mengenai kebetulan pemilihan dan pencalonan Devandran sebagai calon pengerusi PIBG, beliau menjelaskan tuduhan itu tidak berasas.

“Dia mempunyai dua anak bersekolah di sana dan pemilihan adalah berasasakan proses demokrasi, kalau dia tidak mempunyai kualiti dan kelayakan maka tidak mungkin dia terpilih, saya juga menafikan ada menyuruh atau berkempen kepada ibubapa untuk memilih Devan,” katanya lagi.

Thangeswary turut nendedahkan bahawa beliau ada menerima dua panggilan telefon berbaur ugutan untuk melarang Devan daripada bertanding jawatan tersebut.

“Saya tidak boleh menghalang dia, ini hak asasi dia, saya nasihati pun, kalau dia tak dengar apa saya boleh buat?,” ujarnya.

Jelas Thangeswary, beliau telah memohon kebenaran bertulis daripada pihak pengurusan sekolah untuk menyimpan kesemua kotak makanan terbabit dan telah menerima maklum balas secara lisan daripada pihak sekolah.

Katanya, sebelum ini beliau telah memberikan beberapa kotak makanan kepada golongan ibu tunggal dan warga memerlukan yang menghantar anak mereka ke sekolah berkenaan.

“Tujuan saya hanya untuk membantu mereka dan pihak sekolah mempunyai butiran pendapatan jadi ini menyenangkan saya, malah Ahad lepas kita juga telah mengedarkan kotak-kotak makanan kepada rumah-rumah kebajikan sekitar Buntong.

“Malah, sempena Tahun Baru Hindu pada 14 April ini saya akan melaksanakan sesi walkabout selama empat hari dan memberikan sedikit sumbangan supaya mereka boleh sama meraikannya,” katanya lagi.

Thangeswary juga telah membuat laporan polis agar pihak berkuasa melakukan siasatan terhadap beberapa pihak yang bertindak mengaibkan namanya di laman sosial.

Sementara itu, S Devandran berkata tindakan pihak tertentu untuk mengaibkan nama Speaker Negeri Perak dan mengaitkannya dengan pencalonan beliau adalah tidak wajar.

“Speaker langsung tiada kaitan dengan hal ini dan tujuan sebenar saya adalah untuk membantu meningkatkan kualiti sekolah Tamil, tanpa sebarang agenda tersembunyi,” katanya.