KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menafikan dakwaan pihaknya sedang mengambil tindakan untuk mengadakan pilihan raya (PRN) di Negeri Perak seperti dilaporkan oleh media atas talian dan media sosial pada 9 Oktober 2019.

Laporan berita tersebut turut menyiarkan surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Perak kepada Pejabat Pilihan Raya Negeri Perak berhubung kelulusan dalam mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah yang dijadikan sebagai pusat mengundi.

“Dalam hal ini, SPR ingin menjelaskan bahawa lawatan ke sekolah-sekolah merupakan urusan semakan yang dijalankan oleh SPR dari masa ke semasa.

“Urusan ini sedang berjalan di semua negeri seluruh Malaysia sejak Disember 2018 bagi tujuan melihat kesesuaian pusat mengundi sedia ada. Ini adalah untuk memastikan jumlah pengundi di sesebuah pusat mengundi tidak terlalu ramai. Pelaksanaan urusan ini adalah selaras dengan Seksyen 7(2) Akta Pilihan Raya 1958,” kata Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, SPR ingin menasihati mana-mana pihak media atau orang ramai agar dapat merujuk kepada pihak SPR terlebih dahulu untuk mendapatkan kepastian sebelum menyiarkan sebarang berita berhubung urusan pilihan raya bagi mengelakkan sebarang kekeliruan yang tidak sewajarnya kepada pihak awam.-MalaysiaGazette