PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan BERSIH bahawa ia memanipulasi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memenangkan pihak tertentu.

Pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah, menegaskan bahawa semua proses PRU-14 dilaksanakan dengan telus dan adil tanpa sebarang unsur manipulasi terhadap mana-mana pihak.

“Pada hari pengundian awal dan pengundian biasa, semua proses adalah dikendalikan oleh 259,000 petugas pilihan raya yang dilantik dari kalangan orang awam dan ia turut disaksikan oleh semua ejen calon yang dilantik oleh calon atau parti yang bertanding.

“SPR tidak pernah bertindak campur tangan dalam semua urusan termasuk semasa proses pengiraan dan penjumlahan kertas undi.

“Keputusan penuh PRU-14 yang berpihak kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH) dan berlakunya peralihan kerajaan secara lancar dan teratur jelas membuktikan bahawa PRU-14 dijalankan secara telus dan adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, SPR bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya bagi membuktikan bahawa tidak berlaku sebarang manipulasi atau penyelewengan semasa proses PRU-14 – berita harian