KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang meneliti sama ada seramai 62,000 pengundi berusia 90 tahun ke atas dalam daftar pemilih, masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun, berkata pihaknya juga sedang mengenal pasti sama ada pengundi paling tua dalam daftar pemilih berusia 150 tahun masih hidup atau sebaliknya.

Katanya, ia sebahagian daripada usaha berterusan SPR untuk membersihkan daftar pemilih yang disifatkan sebagai tugas paling utama sejak minggu pertama dilantik menjadi pengerusi suruhanjaya itu.

“Saya tidak pasti jumlah sebenar mereka yang sudah meninggal dalam daftar pemilih, tetapi ada 73,000 individu berusia lebih 90 tahun dalam daftar pemilih, dengan yang paling tua berumur 150 tahun.

“Kami difahamkan yang kira-kira 11,000 daripada 73,000 pengundi itu keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14). Jadi, mereka masih hidup, meninggalkan baki lagi 62,000 pengundi. Saya berjaya capai perkara ini dalam sebulan, jadi harap bersabar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pembukaan Perbincangan Meja Bulat Mengenai Reformasi Pilihan Raya: Langkah Ke Depan Untuk Pilihan Raya Yang Bebas dan Adil di Parlimen, hari ini.

Ditanya sama ada pengundi berusia 150 tahun itu masih hidup, Azhar yang lebih dikenali sebagai Art Harun, berkata secara logiknya tidak mungkin seseorang itu masih hidup pada usia sedemikian.

“Jika difikirkan secara logik, tak mungkin kita masih hidup pada usia 150 tahun. Walaupun Perdana Menteri kita berusia 93 tahun, tapi ini 150 tahun. Kita akan pastikan perkara seperti ini dibersihkan daripada daftar pemilih,” katanya.

Sebelum PRU-14, DAP antara yang membangkitkan isu seorang pengundi berusia 150 tahun dalam daftar pemilih SPR, Mohd Said Mohd Arshad, dengan tarikh lahir 1 Januari 1868, yang didaftarkan di daerah di kerusi negeri Pujut, dalam Parlimen Miri, Sarawak.

Mengenai sistem pembersihan daftar pemilih automatik bagi pengundi yang meninggal dunia, Art Harun berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mewujudkan sistem seumpamanya.

Berhubung isu sejumlah pengundi yang berdaftar bagi satu alamat yang sama, Art Harun berkata, SPR sudah mengenal pasti beberapa alamat dan turun padang bagi memeriksa keberadaan pengundi pada alamat terbabit.

“Kami juga menghubungi mereka, kenal pasti di mana mereka berada dan mengambil tindakan sewajarnya untuk membersihkan nama jika mereka tiada di alamat berkenaan.

“Bagaimanapun, ada kawasan yang memang ada pengundi. Contohnya di kawasan kampung yang tiada alamat jelas, ada 140 pengundi mendaftar menggunakan satu alamat masjid,” katanya – berita harian