KUALA LUMPUR : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata bagaimanapun persediaan itu bukan disebabkan pergolakan politik yang sedang dihadapi negara pada ketika ini.

Sebaliknya, terdapat pelbagai faktor lain menyumbang kepada kesiapsiagaan SPR untuk mengadakan PRU.

“Sekretariat SPR memang sentiasa sudah bersedia dengan membuat persediaan awal dan mengaktifkan pelan PRU.

“Tidak dinafikan dalam keadaan sekarang terdapat kemungkinan untuk berlakunya PRU, namun pihak SPR belum membuat sebarang perincian dan perbincangan.

Ditanya sama ada pemilih berusia 18 tahun sudah boleh mengundi sekiranya pilihan raya diadakan pada tahun ini, Azhar berkata, ia bukan dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu dijangka dapat dilaksanakan pada pertengahan tahun hadapan.

“Bagaimanapun, perkara itu juga mungkin dapat dilaksanakan lebih awal, sekitar akhir tahun ini,” katanya.

Azhar berkata, anggaran kasar untuk mengadakan PRU adalah antara RM750 juta dan RM800 juta.

“Namun SPR belum membincangkan anggaran kos sekiranya PRU diadakan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tahun lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 dengan majoriti dua pertiga.

Dengan kelulusan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu, pilihan raya pada masa hadapan menyaksikan pengundi berusia 18 tahun dibenarkan mengundi dan menjadi calon berbanding usia 21 tahun sebelum ini, selain pendaftaran pengundi akan dilakukan secara automatik.

Pindaan berkenaan memperoleh sokongan 47 daripada 68 ahli Dewan Negara iaitu melebihi dua pertiga undian majoriti yang diperlukan, selepas 24 senator mengambil bahagian dalam sesi perbahasan. -BH