PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pihaknya mengambil keterangan anak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Nurulhidayah hari ini.

Azam ketika dihubungi mengesahkan perkara itu, sekali gus menafikan kenyataan Nurulhidayah bahawa dia hadir ke SPRM untuk menemani ayahnya.

“Ya, kami merekodkan keterangannya hari ini, turut direkodkan keterangan ialah abang tiri Ahmad Zahid, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi.

“Kedua-dua mereka hanya direkodkan keterangan hari ini, tidak sambung esok,” katanya.

Terdahulu, Nurulhidayah hari ini memaklumkan beliau hadir ke Ibu Pejabat (SPRM) di sini untuk menemani ayahnya dan bukan dipanggil beri keterangan.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sebaik dilihat keluar dari bangunan SPRM kira-kira jam 4.52 petang tadi.

“Tidak, saya teman dia (Ahmad Zahid) sahaja,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hadir ke ibu pebajat (SPRM) di sini hari bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyelewengan dana sebuah yayasan.

Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri tiba kira-kira jam 9.20 pagi untuk diambil keterangan oleh SPRM selepas diarahkan hadir oleh badan pencegah rasuah itu minggu lalu.

Difahamkan, bekas menteri kanan itu dipanggil bagi memberi keterangan berhubung kes penyelewengan dana yayasan itu hampir RM900,000 – berita harian