PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Perak akan meminta bantuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan rumah mampu milik yang dibina di Perak dimanfaatkan hanya untuk pemohon yang paling layak.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, ia sejajar dengan manifesto kerajaan akan menyediakan satu juta rumah mampu milik.

“Ini bukan sekadar memenuhi kuota. Kerajaan komited ke arah memastikan penyediaan perumahan yang mencukupi, selesa, berkualiti dan mampu dimiliki bagi meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat terutamanya kepada kumpulan sasaran B40 dan yang di bawah kumpulan sasaran B40,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) antara Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc.) dan syarikat pemaju perumahan MK Land Holdings Bhd di Damansara Perdana, semalam.

MB Inc. diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Anuar Zainal Abidin manakala MK Land oleh Pengurus Besar Kanan Kumpulannya Kamarulzaman Abu Bakar. Pengerusi Eksekutif MK Land, Felina Mustapha Kamal.

Kawasan seluas 226 ekar di Simpang Pulai akan dibangunkan sebagai pembangunan rumah mampu milik serta pembangunan bercampur yang berjumlah kira-kira 2,200 unit dengan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM700 juta.

Ia juga akan merangkumi 1,100 unit rumah teres mampu milik.

Ini merupakan kali pertama MB Inc. bekerjasama dengan MK Land untuk membina rumah mampu milik dan pembangunan bercampur.

Menerusi Memorandum Persefahaman itu, tanah yang terletak di Mukim Teja dan Sungai Raya itu akan dibangunkan oleh sebuah syarikat usahasama di antara MB Inc, dan MK Land.

Ahmad Faizal berkata, pihaknya menyambut baik usaha MK Land dalam menyediakan kediaman yang mampu dimiliki oleh rakyat kerana mereka telah mempunyai pengalaman 35 tahun di Perak dan Selangor.

Fasa satu projek usahasama itu dijangka siap dalam masa tiga tahun dengan 200 unit dan bakinya 200 unit setiap tahun, mengikut sambutan dari pembeli.

MK Land menganggarkan seramai 11,000 penduduk akan mendiami kawasan yang dibangunkan ini apabila siap kelak.

Kerajaan negeri Perak berharap kawasan Simpang Pulai akan menjadi pusat pembangunan baharu untuk kawasan berhampiran Ipoh.