IPOH: Kesemua anggota pentadbiran kerajaan negeri dan Persekutuan termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri perlu mengemukakan pengisytiharan harta dalam masa 30 hari selepas mengangkat sumpah jawatan anggota pentadbiran.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil berkata kesemua wakil rakyat Pakatan Harapan perlu berbuat demikian kepada Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang akan membuat penelitian terhadap pengisytiharan yang dibuat.

Katanya, satu salinan pengisytiharan harta juga akan diberikan kepada SPRM melalui JKKMAR yang diterajui oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tersebut.

“Masih ada kalangan exco yang belum membuat pengisytiharan harta tetapi ini tidak bermakna dia tidak mematuhi kerana mereka ada masa sehingga 3 bulan selepas angkat sumpah untuk membuat demikian.

Yang mana dulu dibuat di peringkat Persekutuan oleh Perdana Menteri sahaja manakala di peringkat negeri oleh Ketua Menteri dan Menteri Besar.

“Satu salinan akan diberikan kepada SPRM untuk kita lihat, dan akan dimuatnaik dalam portal SPRM selepas ini,”katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Shamshun Baharin menyaksikan Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Bagi Ahli Dewan Negeri Perak dan Ketua Jabatan Badan Berkanun Negeri Perak yang diketuai oleh Menteri Besar Perak, YAB MB Ahmad Faizal Azumu di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Daruk Ridzuan di sini, pada pagi Selasa.

Jelasnya, terdapat beberapa perkara teknikal khususnya dari segi borang pengisytiharan harta baik untuk anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen yang kini sedang diselaraskan oleh pihak Kabinet sebelum salinan laporan dimuatnaik dalam laman sesawang rasmi SPRM.

Sementara itu, Ahmad Faizal menegaskan bahawa masih terdapat beberapa exco yang belum menyerahkan laporan pengisytiharan harta masing-masing kepada pihaknya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pihak exco berkenaan akan menyiapkannya sebaik sahaja sidang Dewan Undangan Negeri yang sedang bersidang berakhir.