KUALA LUMPUR : Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata kertas siasatan berhubung pembelian enam helikopter tempur ringan bernilai RM300 juta yang masih belum diterima sudah dibuka.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut dan memberitahu kes itu sedang berlangsung.

“Kami akan memberitahu sebaik sahaja kami selesai (siasatan),” katanya kepada pemberita selepas persidangan mengenai jenayah kewangan di sini hari ini.

Pada Mei lalu pendedahan enam helikopter tempur ringan McDonnell Doughlas MD530 yang dibeli melalui ejen yang dikaitkan dengan pegawai kanan Kementerian Pertahanan masih belum diterima.

Dua helikopter sepatutnya diterima pada Jul 2017 manakala empat lagi pada Dis 2018.

Sebuah syarikat tempatan dilantik sebagai ejen untuk pembelian, sebelum hak pengedarannya dikatakan dibatalkan oleh pengeluar dari Amerika Syarikat (AS), MD Helicopters.

Dilaporkan sebanyak RM112.65 juta telah dibayar terlebih dahulu bagi tujuan pembelian helikopter itu.

Kementerian Pertahanan pada Jun membuat laporan kepada SPRM dan Menterinya, Mohamad Sabu pada minggu lepas berkata kerajaan akan membawa perkara itu ke mahkamah sekiranya enam helikopter berkenaan masih belum diserahkan.