KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan sedang memantau beberapa kelab sukan dalam jabatan kerajaan di negeri itu, yang disyaki menerima barang berharga daripada pihak tertentu bagi kepentingan kelab..

Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusof, berkata seorang penjawat awam hanya boleh menerima hadiah jika ia tiada kaitan pekerjaan mereka.

Katanya, bagaimanapun, pihaknya menerima maklumat ada dalam kalangan penjawat awam menerima hadiah atau derma daripada pihak yang mempunyai urusan rasmi dengan jabatan itu untuk kelab sukan mereka.

“Kita ada menerima laporan kesalahan rasuah ini dalam beberapa kelab sukan, yang menerima hadiah bagi tujuan menjalankan beberapa acara, termasuk jamuan Hari Raya dan sambutan hari jadi.

“Ada juga menerima derma daripada kontraktor yang ada urusan rasmi dengan mereka.

“Kita sedang menjalankan siasatan dan penjawat awam yang disyaki melakukan kesalahan ini boleh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Aspirasi dan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Jabatan Perpaduan dan Intergriti Kelantan (Jabatan Perpaduan), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan (Operasi), Abdul Karim Abu Seman dan Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negeri Kelantan, Sukri Omar.

Seramai 500 warga Jabatan Perpaduan terbabit dalam lafaz ikrar dan menandatangani IBR itu di Dewan Sri Tunjung, di sini.

Mengulas lanjut, Moh Samsudin berkata, setiap kelab sukan perlu mewujudkan satu garis panduan yang diedarkan kepada ketua jabatan masing-masing bagi mengelakkan kesalahan ini berulang.

“Kakitangan perlu merujuk dengan ketua jabatan masing-masing sebelum membuat sesuatu keputusan untuk menerima hadiah atau meminta derma daripada pihak tertentu,” katanya.

Tahun lalu, katanya, SPRM Kelantan membuka satu kertas siasatan berhubung dengan kesalahan yang sama dilakukan sebuah kelab sukan di negeri itu.

“Kes itu sudah dirujuk kepada ketua jabatan untuk tindakan dalaman,” katanya -berita harian