Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, pihaknya juga mungkin akan memanggil Ahmad Faizal untuk memberi keterangan sekiranya diperlukan untuk membantu siasatan.

“Setakat ini, tidak ada individu baru dipanggil selepas keterangan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad serta lima ADUN parti tersebut diambil.

“Kita kena lihat dulu keterangan-keterangan yang ada dan jika perlu, kita akan memanggil Menteri Besar. Lima ADUN UMNO juga akan turut dipanggil semula sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Walkabout Perdana sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa (HARA) 2018 peringkat negeri Perak di Ibu Pejabat SPRM Perak di Meru Raya di sini hari ini.

Khamis lalu, Saarani dan lima ADUN UMNO hadir di pejabat SRPM Perak di Meru bagi memberi keterangan berhubung dakwaan wujud gerakan menjatuhkan Menteri Besar.

ADUN yang dipanggil ialah ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Datuk Sham Mat Sahat (Alor Pongsu); Khairul Shahril Mohamed (Bota); Maslim Sham Razman (Bukit Chandan) dan Dr. Jurij Jalaluddin (Lubuk Merbau).

Tambah Zainul, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya akan menyelesaikan kes tersebut secepat mungkin.

Pada Rabu lalu, SPRM mengambil keterangan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Perak, Dr. Abdul Aziz Bari selepas beliau dikaitkan dengan gerakan berkenaan. – UTUSAN ONLINE