PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesyaki sejumlah AS$12 juta (RM49.5 juta) wang milik kerajaan diselewengkan susulan siasatan selepas menahan pegawai dan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata sehingga kini pihaknya sudah merampas sejumlah RM35.4 juta dalam bentuk wang tunai RM950,000 dan AS$6.3 juta (RM25.9 juta).

Wang itu ditemukan di beberapa lokasi termasuk sebuah kondominium di Cyberjaya, pejabat orang tertentu dalam kes ini dan juga pembongkaran di pejabat Jabatan Perdana Menteri.

“Kita masih mencari baki wang berjumlah kira-kira AS$5 juta (RM20.6 juta) kerana dipercayai jumlah keseluruhan wang diseleweng adalah AS$12 juta (RM49.5 juta),” katanya pada sidang media berhubung kes berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata, susulan penahanan bekas ketua pengarah dan tujuh pegawai di MEIO, pihaknya turut menahan seorang ahli perniagaan bergelar Datuk berusia 47 di Kelantan pada jam 11 malam tadi bagi membantu siasatan berkaitan penyelewengan dana kerajaan ini.

“Mahkamah Majistret di sini hari ini sudah mengeluarkan perintah reman tujuh hari terhadap ahli perniagaan ini.

“Ahli perniagaan ini adalah rakyat Malaysia namun dia juga mempunyai pemastautin tetap di United Kingdom,” katanya – berita harian