KUALA LUMPUR : Seorang hakim Mahkamah Sesyen di Selangor direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes melepaskan pendatang tanpa izin.

Proses reman hakim itu, yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, dijalankan di Hospital Putrajaya selepas dia dimasukkan ke hospital tersebut selepas mengadu sakit pada pagi ini.

Pengamal media yang menunggu di Mahkamah Majistret di Putrajaya hari ini bagi membuat liputan proses reman berkenaan dimaklumkan bahawa perintah reman terhadap lelaki berumur 45 tahun itu akan dikeluarkan di hospital.

“Direman dua hari,” kata Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya mengenai perkembangan siasatan terhadap lelaki berkenaan.

Latheefa dilaporkan berkata semalam bahawa penahanan hakim itu berkaitan dengan kes penahanan seorang peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP) serta beberapa anggota polis baru-baru ini.

Ia bagi membantu siasatan kes pendatang tanpa izin yang ditahan bagi tujuan pelepasan setelah dibayar, katanya.

Minggu lepas, enam anggota polis dari sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di Selangor dan masing-masing seorang DPP dan peguam ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes berkenaan.

 

-BERNAMA