KOTA BHARU: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya berkata pihaknya menerima maklumat berhubung dakwaan kemungkinan wujud aktiviti rasuah di Kampung Kuala Koh, Gua Musang.

Beliau bagaimanapun berkata tiada sebarang kertas siasatan dibuka berhubung dakwaan aktiviti terbabit setakat ini.

Latheefa juga tidak mendedahkan maklumat diterima daripada pihak mana atau adakah siasatan itu berhubung aktiviti berkaitan perlombongan mahupun pembalakan.

Baru-baru ini, 15 penduduk Orang Asli suku Batek dari Kampung Kuala Koh, meninggal dunia akibat jangkitan wabak demam campak yang mengakibatkan pneumonia (radang paru-paru).

Beberapa pihak membuat laporan polis mendakwa ia disebabkan oleh pencemaran air Sungai Lebir, namun dinafikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selepas menerima laporan Kementerian Kesihatan ketika meninjau perkampungan terbabit.

“Kami terima maklumat dan kami sedang siasat, tetapi saya tidak boleh membincangkan operasinya kerana ia akan menjejaskan apa jua siasatan risikan dan sebagainya. Jadi saya tidak boleh memberikan komen mengenainya,” kata Latheefa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Latheefa berkata, amalan pemakaian baju lokap oren terhadap suspek untuk dibawa ke mahkamah dihentikan sejak 1 Julai lalu lagi.

Beliau berkata, ia bagi memberi persepsi kepada masyarakat bahawa sesiapa yang ditahan tidak patut diberikan tanggapan ‘bersalah’ sehingga dibuktikan oleh mahkamah.

“Imej pemakaian itu dianggap seorang yang bersalah. Jadi sebab itu kami mengatakan bahawa sesiapa yang ditahan sehingga dia disabitkan bersalah dan dihukum, patut diberi tanggapan ‘tidak bersalah’.

“Dari segi prinsip itu, kami mengatakan mulai tarikh itu (1 Julai), ia berkuat kuasa supaya imej pemakaian baju SPRM itu tidak digunakan bagi mana-mana Orang Kena Tahan (OKT) yang ditahan,” katanya.

Terdahulu pada pertemuan lebih satu jam dengan Nazran, mereka membincangkan inisiatif Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang akan dibawa ke peringkat negeri selain cadangan dan tawaran kepada kerajaan negeri untuk mempertimbangkan pengisytiharan harta.

 

– BERNAMA